? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "Save Template" CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS ?

Tinggal Jejak Anda Disini....

Friday, February 12, 2010

Pembukuan Al-Quran

SOALAN 2
Pembukuan al-Quran telah mula berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar r.a. lagi dan usaha tersebut diteruskan pada zaman Khalifah Uthman al-Affan r.a. dengan keadaannya yang lebih tersusun dan lengkap.
Bincangkan secara terperici tiga perbezaan pengumpulan al-Quran di zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Uthman al-Affan r.a.

Pengenalan
Al-Quran ditakrifkan sebagai kalam Allah s.w.t yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Jibril a.s dan melalui nabi Muhammad ia di sampaikan kepada umat manusia. Al-Quran merupakan perundangan yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam. Usaha penulisan dan pengumpulan al-Quran dilakukan demi kemaslahatan umat Islam biarpun ia bukannya datang dari perintah Rasulullah untuk dituliskan dan dibukukan. Namun memandangkan pelbagai masalah yang timbul hasil daripada tersebarnya Islam di serata dunia. Golongan yang memeluk islam semakin hari semakin ramai. Hasil perkahwinan bangsa arab dengan bukan bangsa arab dan pelbagai faktor lagi yang menyumbangkan kepada kerosakan tatabahasa arab menyebabkan tindakan diambil bagi menggalakkan berlakunya kekeliruan pada bacaan al-Quran.

Perbezaan pengumpulan al-Quran pada kedua-dua zaman tersebut.

Pengumpulan al-Quran pada kedua-dua zaman tersebut adalah berbeza. Perbezaan yang pertama ialah di zaman Khalifah Abu Bakar, di mana dilakukan pemindahan tulisan al-Quran dari keadaan yang bertaburan kepada satu mashaf yang kemas dan teratur tanpa mengasingkan lagi ayat-ayat yang telah dimansuhkan. Tujuannya adalah semata-mata untuk menyimpan al-Quran dalam bentuk tulisan dan mashaf yang rapi. Ini bertujuan untuk menjaga ayat-ayat al-Quran dari hilang dan luput bersama-sama matinya para sahabat(penghafaz).

Pada zaman Khalifah Uthman al-Affan pula, ia merupakan satu usaha untuk mengemaskini ayat-ayat al-Quran yang disusun oleh Abu Bakar dengan cara membuat mashaf-mashaf lain dan menghapuskan ayat yang telah dimansuhkan. Tujuannya ialah mengatasi huru hara yang berlaku akibat daripada perbezaan bentuk bacaan.

Perbezaan yang kedua ialah pada zaman Khalifah Abu Bakar, al-Quran dikumpukan dan ditulis dalam satu naskah sahaja yang disebut “suhuf”. Naskah ini ditulis hasil daripada pengumpulan samua tambunan al-Quran yang ditulis di batu, kayu, pelepah tamar, tulang dan sebagainya. Setelah siap ditulis, suhuf tersebut telah diserahkan kepada Abu Bakar r.a. dan suhuf itu tetap ditangan Abu Bakar sampailah beliau meninggal dunia. Selepas kewafatan Abu Bakar, suhuf itu dipindahkan ke rumah Saidina Umar al-Khattab r.a dan tetap berada di sana selama pemerintahannya. Sesudah beliau wafat, suhuf tersebut disimpan oleh puterinya Hafsah sehinggalah masa pengumpulan dan penyusunan di zaman Khallifah Uthman r.a.

Namun pada zaman Khalifah Uthman al-Quran telah ditulis dan dibukukan sebanyak lima naskah dan dinamakan “al-mashaf”. Empat buah al-Quran telah di hantar ke Mekah, Syam, Basrah dan Kufah bersama-sama seorang guru untuk mengajarnya serta menyalin dan diperbanyakkan. Sebuah lagi ditinggalkan di Madinah dan disimpan oleh Saidina Uthman. Daripada naskah inilah al-Quran disalin oleh seluruh umat Islam didunia ini. Ini membuktikan bahawa perkembangan Islam pada zaman Khalifah Uthman makin meluas dan al-Quran juga disebarkan, tidak seperti saidina Abu Bakar r.a yang mengumpulkan al-Quran dan disimpan sahaja mushaf tersebut.

Perbezaan yang ketiga ialah tentang cara pengumpulanya. Pada zaman Saidina Abu Bakar r.a di mana beliau telah memberi tanggungjawab ini kepada seorang sahabat yang terkenal dengan pengumpulan al-Quran iaitu Zaid b. Thabit dengan dibantu oleh beberapa orang sahabat yang lain. Beliau merupakan penghafal al-Quran yang telah menulis wahyu di bawah pengelolaan Rasulullah s.a.w. Kaedah penulisan beliau bersumberkan hafazan sahabat dan penulisan sedia ada disamping pengesahan dua orang saksi. Hasilnya lahirlah sebuah mashaf al-Quran yang tersusun kemas. Mashaf ini masih mengandungi ayat yang dimansuhkan.

Manakala pada zaman Khalifah Uthman r.a cara pengumpulannya ialah hasil perbincangan beliau dengan para sahabat pada akhir tahun 24 Hijrah. Zaid b. Thabit, Abdullah b. Zubir, Saad b. al-As dan Abdul Rahman b. Harith telah diberi tanggungjawab untuk menyusun al-Quran dalam bentuk mashaf yang sistematik dan diterima ramai. Saidina Uthman juga meminta Hafsah bt. Umar supaya memberikan naskah untuk kepentingan kajian semula. Dalam penyusunan baru beberapa dasar telah diambil iaitu:

1. Segala pembetulan dalam bacaan yang berbeza-beza dirujuk kepada sebutan orang Quraish.
2. Akan ditulis setelah dikaji dan diyakini bahawa ia adalah al-Quran yang didengar secara mutawatir dari mulut Rasulullah s.a.w.
3. Ayat ini dipastikan tidak dimansuhkan.
4. Ayat al-Quran ditulis dengan beberapa mushaf bertujuan untuk memelihara dan diedarkan keseluruh Negara supaya mengelakkan terjadi kekeliruan bacaan diantara ayat yang dimansuhkan.
5. Ditulis tanpa sebarang titik dan bentuk bertujuan dapat membacanya bermacam-macam, tidak hilang serta boleh diterima oleh semua golongan.


Tiga keburukan yang berlaku sekiranya pembukuan al-Quran tidak berlaku pada kedua-dua zaman sahabat tersebut.

Pada pendapat saya, seandainya al-Quran tidak dikumpulkan dan dibukukan pada kedua-dua zaman sahabat tersebut maka akan berlaku peristiwa yang tidak kita ingini iaitu:

Pertamanya ialah al-Quran akan hilang kerana ayat-ayat al-Quran berada dalam keadaan terpisah-pisah. Sementara itu matinya para penghafal al-Quran sepertimana berlaku semasa zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar r.a, di mana beliau menghadapi pelbagai kerumitan yang mengancam pemerintahannya. Ada segolongan orang Islam yang murtad, ada pula yang tidak mahu membayar zakat dan ada juga yang mengaku menjadi nabi. Keadaan ini terpaksa dihadapi oleh Saidina Abu Bakar r.a. Dengan persetujuan para sahabat Saidina Abu Bakar r.a telah melancarkan peperangan terhadap orang-orang yang murtad dan enggan membayar zakat. Dalam peperangan Yamamah ini ramai sahabat yang terkorban syahid. Ini termasuklah 70 orang sahabat yang baik hafalan al-Qurannya.

Syahidnya penghafal al-Quran telah menjadi Saidina Umar al-Khattab berasa bimbang dan beliau melahirkan kebimbangannya kepada Saidina Abu Bakar r.a. Pada pandanganya, jika tidak diambil sesuatu tindakan untuk mengumpulkan al-Quran, beliau takut al-Quran akan hilang begitu sahaja. Dengan demikian itu Saidina Umar al-Khattab r.a mencadangkan supaya al-Quran dikumpulkan dan ditulis semula supaya senang bagi generasi kemudian untuk merujuk dan membacanya. Walaupun pada awalnya Abu Bakar tidak berani untuk melaksanakan cadangan Saidina Umar itu, tetapi akhirnya beliau bersetuju untuk mengumpulkan al-Quran. Bermula dari detik itulah al-Quran dikumpul dan ditulis semula.

Keburukan yang keduanya ialah akan berlakunya perselisihan dalam kaedah pembacaan al-Quran serta perpecahan ummah Islam. Pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman Islam telah tersebar luas hingga wujudnya suatu kawasan yang amat besar. Islam berkembang luas hingga ke Afrika di barat dan Azarbaijan di timur. Orang-orang Islam bertaburan di merata pelusuk negeri. Masing-masing membaca al-Quran mengikut bacaan sahabat yang mengajar mereka. Dengan demikian bacaansatu tempat dengan tempat yang lain adalah berbeza kerana berlainan guru yang mengajarnya. Penduduk negeri Sham contohnya, membaca mengikut bacaan Ibnu Mas’ud, manakala tempat lain membaca mengikut bacaan Abu Musa Al-Ash’ari. Masing –masing mengatakan bacaannya sahaja yang betuldan menyalahkan bacaan yang lain. Hal ini berlarutan hingga sampai ke satu tahap yang menimbulkan persengketaan yang hampir-hampir mencetuskan pergaduhan sesama muslimin.

Walaupun sebenarnya sahabat-sahabat besar menerima al-Quran daripada Rasulullah dengan tujuh jenis bacaan. Namun apabila mereka mengajar, mereka hanya mengajar satu jenis bacaan yang mereka minat sahaja. Dengan sebab itulah terdapat perbezaan bacaanpada tempat-tempat tertentu. Seorang sahabat bernama Huzaifah bin Al-Yaman yang baru pulang dari negari Sham memberitahu hal ini kepada Saidina Uthman dan beliau mencadangkan supaya sesuatu tindakan diambil untuk menyelamatkan umat Islam. Beliau meminta supaya al-Quran ditulis semula dalam beberapa naskhah dan dihantar kesemua negeri Islam. Dengan demikian orang orang Islam boleh membaca al-Quran dengan cara yang sama seperti yang tertulis itu. Saidina Uthman bersetuju dengan cadangan itu dan menulis semula dengan baikmengikut loghat Arab Quraish. Dengan penulisan inilah dapat menyatukan bacaan dan perpaduan ummah di samping mengelakkan perpecahan umat Islam.

Keburukan yang ketiga ialah tidak akan berlaku tertib susunan surah-surah dan ayat-ayat menurut urutan yang terdapat sekarang serta kekeliruan antara ayat yang dimansuhkan atau pun tidak. Sekiranya pengumpulan dan penulisan al-Quran tidak berlaku, kemungkinan surah-surah dan ayat-ayat berada dalam keadaan yang tidak tersusun dan bercelaru. Tidak seperti yang kita lihat sekarang dimana ia tersusun dengan teratur bermula dari Surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. Dalam keadaan inilah akan memudahkan kita semua membacanya.


Kesimpulan
Dengan usaha kedua-dua khalifah iaitu Abu Bakar dan Uthman maka terpeliharalah al-Quran dari sebarang perubahan sejak diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sehingga sampailah kepada kita sekarang. Dalam pada itu juga pada tiap-tiap zaman dan masa al-Quran dihafal oleh jutaan umat Islam. Hal ini bersesuailah dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud:-
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran dan sesungguhnya. Kami tetap memeliharanya”.

0 comments: