? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "Save Template" CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS ?

Tinggal Jejak Anda Disini....

Friday, February 12, 2010

Ilmiah

SOALAN KEDUA:

PENGENALAN

Surah al-Fatihah merupakan surah yang sering dibaca dalam kehidupan seharian terutamanya diwajibkan ketika setiap kali melakukan solat lima waktu. Ia juga adalah surah pembuka yang didahulukan sebelum sesuatu majlis dilaksanakan. Pada masa yang sama terdapat banyak kelebihan mengamalkan surah al-Fatihah ini antaranya dibaca sebagai penyembuh penyakit seperti terkena patukan ular, kala jengking dan sebagainya lagi. Walaupun surah ini agak ringkas sahaja namun ia merangkumi pelbagai intipati dan pelajaran yang tidak terkandung secara padu di dalam surah-surah yang lain. Intipati yang dibincangkan menerusi surah al-Fatihah ini merangkumi beberapa konsep penting iaitu konsep aqidah Uluhiyyah, Rububiyyah dan Asma’ Wassifat. Ketiga-tiga konsep ini menyentuh persoalan pegangan dan tauhid Islam. Selain daripada itu konsep hidayah, ibadah dan akhlak turut diketengahkan.

1) Konsep Aqidah Uluhiyyah

Aqidah Uluhiyyah bermaksud mentauhidkan Allah Taala dalam peribadatan atau persembahan. Allah Taala mengutuskan para rasul bertujuan menyeru manusia menerima tauhid Uluhiyyah ini. Firman Allah Taala;

               
Maksudnya :
“Dan kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu melainkan kami wahyukan kepadanya: Bahwasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan aku.” (al-Anbiya’(21): 25)


Konsep dan elemen dalam aqidah ini turut merangkumi konsep menyembah atau beribadah kepada Allah Taala yang dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci kepada Allah Taala dan rela serta ikhlas menundukkan diri serendah-rendahnya kepadaNya. Secara umumnya aqidah Uluhiyyah adalah mengesakan Allah dalam bentuk beribadah kepadaNya. Pada masa yang sama beribadah dan berdoa kepada selain Allah adalah tidak dibenarkan. Ia turut menekankan aspek keikhlasan sebagai syarat utama ibadah seseorang hamba diterima. Setelah meneliti surah al-Fatihah ini, rahsia keagungannya terletak dalam ayat ini iaitu;
    
Maksudnya:
“Hanya Engkaulah yang kami sembah dan Hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.” (al-Fatihah (1) : 5)


Di dalam perkataan (الله) dan (إياك نعبد) terkandung maksud kalimah tauhid Uluhiyyah. Ia bererti manusia sebagai hamba mesti menjadikan Allah sahaja sebagai sembahan yang sentiasa dipatuhi. Potongan ayat (إياك نعبد) merupakan pernyataan terhindarnya tanda-tanda kemusyrikatan. Manakala potongan ayat (وإياك نستعين) pula membawa maksud sikap seseorang individu sebagai hamba perlu mengelakkan diri daripada sebarang kekuatan dan kuasa serta berserah diri kepada Allah Taala sebagai Pencipta Yang Maha Esa.

Potongan ayat (إياك نعبد) yang didahulukan daripada potongan (وإياك نستعين) adalah kerana ibadah kepada Allah Taala merupakan tujuan utama kita sebagai hambaNya. Aspek pertolongan pula merupakan saranan atau batu loncatan untuk melaksanakan ibadah tersebut. Oleh yang demikian itu, konsep beribadah kepada Allah Taala adalah elemen yang mesti dilaksanakan oleh setiap Muslim di muka bumi ini. Hal ini turut dijelaskan dalam ayat al-Quran sebagaimana berikut;

                 




Maksudnya:
“Dan kepunyaan Allah-lah apa yang ghaib di langit dan di bumi dan kepada-Nya-lah dikembalikan urusan-urusan semuanya, Maka sembahlah Dia, dan bertawakkallah kepada-Nya. dan sekali-kali Tuhanmu tidak lalai dari apa yang kamu kerjakan.” (Huud (11) : 123)


2) Konsep Akidah Rububiyyah

Aqidah Rububiyyah adalah konsep kepercayaan dan beriktiqad bahawa Allah Taala bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuhan sekelian alam. Perkataan rububiyyah berasal daripada perkataan Rabb (رب) dan mempunyai beberapa maksud sebagaimana berikut;
a) Pemelihara anak atau pemeliharaan kebun, iaitu menjaga dari segala kerosakan kerana ia bertugas sebagai pemelihara, penjaga, pengasuh segala urusan yang berhubung dengan anak atau kebun.
b) Pemimpin atau pembela, iaitu sebagai pemerintah dengan ia menjalankan kepimpinan dan hukum serta dianggap sebagai pemimpin masyarakat.
c) Majikan yang menjaga dan mengawasi rumah atau memilikinya juga dispesifikasi sebagai penternak atau pengembala.
d) As-sayyid (tuan).
e) Raja (pemerintah).
f) Penguatkuasa, pendidik, penguasa.

Dari segi istilah syarak pula, aqidah rububiyyah bermaksud mentauhidkan Allah pada mencipta alam, mengurus dan mentadbirkannya, memiliki, memelihara, menghidup, mematikan dan ia terkandung dalam rukun iman iaitu beriman kepada qadar.
Berdasarkan surah al-Fatihah ayat yang kedua (الحمد لله رب العالمين), telah difokuskan perkataan Rabb (رب) dengan erti pemilik, penguasa, pengendali da tuan. Secara mutlaknya, perkataa Rabb tidak digunakan untuk selain daripada Allah kecuali sekiranya dibenarkan tambahan dengan perkataan lain seperti Rabb Dar (رب الدر) yang bermaksud pemilik rumah.
Bisyr bin Imarah telah meriwayatkan dari Abu Rauq dari adh-Dhahhak dari Ibnu Abbas berkaitan (الحمد لله رب العالمين) yang bererti “segala puji bagi Allah yang memiliki seluruh makhluk yang ada di langit dan di bumi serta apa yang ada di atas keduanya. Ini adalah kepunyaanNya sama ada kita ketahui atau sebaliknya.”
Demikian itu, setelah diteliti maka disimpulkan bahawa tauhid Rububiyyah sebenarnya telah dikurniakan oleh Allah kepada semua hambaNya secara fitrah lagi. Sebagaimana individu Muslim, tauhid ini turut diyakini oleh ornag-orang bukan Islam dengan mengakui bahawa wujudnya satu kuasa besar yang mencipta dan mentadbir muka bumi ini. Dalam ajaran Islam, tauhid Rububiyyah sahaja tidak mencukupi dalam mencapai iman dan Islam kepada Allah Taala. Ia mesti digandingkan dengan tauhid atau aqidah Uluhiyyah dengan melaksanakan penyembahan dan ibadah kepada Allah Taala selepas meyakini keesaanNya.


3) Konsep Asma’ Wassifat

Tauhid Asma’ Wassifat adalah konsep aqidah dengan mempercayai dan mengakui segala nama dan sifat Allah Taala secara ijmal dan tafsili menurut apa yang telah diberitahu di dalam al-Quran dan Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya Allah Taala mempunyai nama-nama yang paling baik dan segala sifat kesempurnaan bagi diriNya sendiri, Maha Suci dari segala kekurangan.
Apabila diteliti dalam surah al-Fatihah pada perkataan (الحمد لله) terkandung maksud tauhid Asma’ Wassifat. Alhamdulillah membawa erti syukur kepada Allah Taala semata-mata dengan segala nikmat pemberian rezeki dan limpahan nikmat kehidupan di dunia dan di akhirat. Ibnu Jarir rahimaullah mengatakan bahawa Alhamdulillah merupakan pujian yang disampaikan Allah untuk diriNya sendiri. Di dalamnya membawa erti perintah kepada para hambaNya supaya mereka memujiNya. Di samping itu, huruf alif dan lam pada perkataan alhamdu bermaksud untuk melengkapi segala bentuk pujian yang diucapkan hanya semata-mata kepada Allah Taala sahaja.
Dalam menetapkan keyakinan terhadap tauhid Asma’ Wassifat ini ia tidak memadai dengan hanya membuktikan keIslaman dan menyatakannya. Malah setiap individu Muslim mesti melaksanakan apa yang lazim sebagaimana yang terkandung di dalam aqidah Rububiyyah dan Uluhiyyah. Ini adalah kerana orang bukan Islam juga mengakui dan mempercayai beberapa sifat dan nama Tuhan tetapi tidak dengan cara yang sebenar.


4) Konsep Hidayah

Konsep hidayah juga turut dibincangkan menerusi surah al-Fatihah dengan meneliti kepada ayat yang keenam iaitu (إهدنا الصراط المستقيم) bermaksud “tunjukkilah kami jalan yang lurus.” Pengertian hidayah pada ayat ini menumpukan pada pengertian bimbingan dan taufik. Perkataan hidayah boleh didefinisikan secara asasnya sebagai petunjuk ke arah mencapai matlamat tertentu. Professor Hamka dalam Tafsir al-Azhar ada menyebut definisi ulama tafsir mengenai perkataan hidayah yang menjadi kata asal kepada perkataan (إهدنا) dalam surah al-Fatihah.
Menurut keterangan sesetengah ahli tafsir, proses lengkap menuju jalan yang lurus yang dimohonkan kepada Allah itu ialah,
a) al-irsyad : ertinya agar dianugerahi kecerdikan dan kecerdasan sehingga dapat membezakan yang salah dengan yang benar.
b) at-tawfiq : iaitu bersesuaian kehendaknya dengan apa yang direncanakan Alah.
c) al-ilham : iaitu diberi petunjuk supaya dapat mengatasi sesuatu yang sulit.
d) al-dilalah : ertinya ditunjuk dalil-dalil dan tanda-tanda di mana tempat yang berbahaya, di mana yang tidak boleh dilalui dan sebagainya.

Firman Allah:
           
Maksudnya:
“Alif, Laam, Miim, Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa” (al-Baqarah (1) : 1-2)

Dalam ayat seterusnya firmanNya lagi:

         

Maksudnya:
“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk daripada Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya” (al-Baqarah (1) : 5)


Dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa al-Quran adalah sumber utama petunjuk kehidupan manusia. Untuk mengenali Allah yang membawa kepada kedudukan takwa di sisi-Nya, manusia mesti terlebih dulu dikurniakan hidayah.
Syeikh Abu Bakr al-Jazairi dalam bukunya Akidah Mukmin pula membahaskan persoalan ini dengan membahagikan hidayah kepada dua bahagian iaitu hidayah akal dan agama. Hidayah akal bermaksud petunjuk yang Allah berikan dalam bentuk kurniaan akal fikiran baik, waras dan sempurna sehingga dapat membezakan di antara perkara yang baik dengan buruk serta yang hak dengan batil. Hidayah agama pula dianggap lebih penting dalam usaha mengenal Allah kerana nur agama dipancarkan ke dalam diri hamba-Nya adalah faktor terbesar yang membawa manusia ke arah beramal dan penyucian diri.


5) Konsep Ibadah

Proses pengibadatan akan bermula selepas membina keyakinan yang jitu. Setelah memberi hidayah dari aspek aqidah, ditunjukkan juga segala macam amalan yang perlu dilakasanakan bagi memenuhi tuntutan aqidah itu tadi. Contohnya tentang kewajipan solat dan zakat, haji dan puasa, segala macam undang-undang berkaitan perkahwinan, jenayah dan muamalah dibentangkan sebagai satu bentuk hidayah tentang apa yang terbaik untuk manusia dalam mencapai kejayaan dalam kehidupan dunia.
Konsep ibadah dalam surah al-Fatihah dapat dilihat pada ayat (إياك نعبد وإياك نستعين). Ia mempunyai kesinambungannya dengan asas akidah Uluhiyyah sebagaimana yang telah dijelaskan. Apabila seseorang individu Muslim menyakini dan mengakui Allah Taala sebagai Pencipta yang Maha Esa yang menguasai seluruh alam ini, maka secara jelasnya mereka akan memperhambakan diri untuk beribadah kepadaNya. Situasi ini akan menggambarkan ketaatan dan kesetiaan individu Muslim dengan melaksanakan segala perkara yang disuruh dan meninggalkan segala laranganNya.


6) Konsep Akhlak

Seseorang individu Muslim yang sering membaca, menghayati dan mengamalkan surah al-Fatihah akan melahirkan akhlak dan sifat mahmudah yang cemerlang dalam kehidupan. Ini adalah kerana semasa turunnya surah al-Fatihah ini Iblis berasa kecewa sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan dari Abu Abdillah, mafhumnya;

“Sesungguhnya Iblis menjerit empat kali. Pertama, pada hari ia dilaknat; kedua, kita turun ke bumi; ketiga, ketika Allah Taala mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w pada period terhentinya Rasul; dan keempat, ketika turunnya Umm al-Kitab yakni, Alhamdulillahi rabbil ‘alamin”.

Perkataan akhlak daripada bahasa Arab membawa erti perangai, tingkahlaku, perilaku, tatasusila dan budi pekerti. Islam sebagai agama yang syumul dan sempurna menjadikan akhlak sebagai satu cabang asasi dalam kehidupan individu, malah ia merupakan tuntutan wajib bagi setiap orang. Sifat fitrah semulajadi manusia telah dijelaskan menerusi surah al-Fatihah dengan membentuk individu itu sebagai manusia yang unggul berpengetahuan. Di antara sifat dan akhlak yang lahir daripada pengamalan dan tadabur daripada surah ini antaranya;
a) Kepercayaan – mengakui pegangan akidah Islam dengan mengesakan Allah Taala sebagai Pencipta yang Maha Agung dan tidak menyekutukannya.
b) Kesyukuran – iaitu dari segi perasaan, ucapan dan perlakuan yang dipupuk dengan ikhlas terhadap segala nikmat kurniaan Allah.
c) Sabar – tabah dan redha menerima ketentuan dan dugaan dariNya serta berterima kasih terhadap khidmat bakti yang diperolehi.
d) Ibadah – mengabdikan diri kepada Allah dengan melakukan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.
e) Malu – perasaan ‘aib, hina dan rendah diri kepada Allah, sesama manusia dan diri sendiri kerana melakukan sesuatu yang keji dan dilarang oleh Allah.
f) Takutkan Allah – perasaan takut dan kagum terhadap kehebatan Allah yang mendorong seseorang melakukan ketaatan dan meninggalkan laranganNya.
g) Tawakkal – memohon segala pertolongan hanya kepada Allah Taala dengan yakin setelah bersaha sedaya upaya dan tidak berptus asa, sesunguhnya Allah Berkuasa di atas setiap sesuatu.

Sebenarnya sifat dan akhlak yang muncul dari surah ini terlalu banyak untuk dibincangkan. Akhlak yang telah dihuraikan tersebut merupakan akhlak asas yang mesti dilahirkan terutamanya dalam jiwa individu Muslim dan seterusnya dipraktikkan sepanjang kehidupan agar mencapai keredhaan Allah Taala di akhirat kelak.

0 comments: