? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "Save Template" CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS ?

Tinggal Jejak Anda Disini....

Friday, February 12, 2010

Ilmu Tajwid




PENDAHULUAN

Pengajian tilawah al-Quran di Malaysia berjalan seiring dengan perkembangan dakwah Islam yang telah sampai di gugusan nusantara sejak sekian lama dahulu. Ketika itu, pengajian tilawah al-Quran hanya diajar oleh para ulama dan guru-guru agama melalui institusi pondok, madrasah atau rumah kediaman mereka. Dalam mana-mana majlis tilawah, qari dan qariah akan memperdengarkan bacaan dengan seni lagu atau tarannum. Kehandalan seseorang pembaca bukan sekadar diukur kepada kebolehan tajwid tetapi sedap atau tidak pembacaannya.

Selain daripada tilawah al-Quran sebagai suatu ibadah, ia juga bertujuan untuk memberi kesan dalam pembentukan jiwa individu muslim. Walau bagaimana pun, hal ini mungkin tidak akan sempurna sekiranya ilmu tajwid tidak dipelajari dengan mendalam. Kepincangan terhadap bacaan dan kesalahan bacaan akan berlaku yang seterusnya membawa ke tahap berdosa. Apabila ilmu tajwid dipelajari dengan baik, ia sebenarnya membantu para pembaca al-Quran mengelokkan bacaan supaya mengucapkan makhraj huruf, sebutan huruf, dan kalimah dengan betul.

Pada masa yang sama tajwid mempunyai kepentingannya yang tersendiri dalam pembacaan al-Quran. Sekiranya ilmu tajwid tidak dipelajari dan tidak dipraktik semasa membaca al-Quran, seseorang individu akan membaca ayat-ayat suci al-Quran secara salah. Situasi sedemikian wajar dielakkan supaya al-Quran terjamin daripada kesalahan dan keraguan semasa proses bacaannya dilaksanakan. Selari dengan perkembangan ilmu tajwid kini, seharusnya setiap individu muslim berusaha mempelajarinya dalam usaha mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan al-Quran kalamullah.


PENGENALAN ILMU TAJWID SERTA KEUTAMAANNYA

Ilmu tajwid merupakan ilmu yang telah berkembang sehingga kini dalam memperelokkan bacaan al-Quran. Menurut bahasa, ilmu tajwid membawa maksud memperelokkan dan menghalusi (Mahadi Dahlan al-Hafiz & Azahari Othman al-Hafiz. Kaedah Tajwid Rasm Usmani dalam al-Quran, ms 1).

Manakala ilmu tajwid dari perspektif istilah pula ia adalah suatu ilmu yang membahaskan cara membaca ayat-ayat suci al-Quran mengikut hukum yang tertentu, dengan mengucapkan huruf menurut hak asli dan hak mendatang Hak al-huruf bermaksud huruf dan makhrajnya yang tidak boleh sama sekali dipisahkan dari huruf tersebut seperti (الجهر والهمس). Kemudian sifat atau hak mendatang adalah seperti (التفخيم) (والترقيق) dan lain-lain lagi. (Hassan Mahmud al-Hafiz. Pelajaran Ilmu Tajwid al-Quran Rasm Usmani, ms 27).

Syeikh Ahmad Hijazi al-Fiqh menerusi bukunya القول السديد iaitu seorang ketua para Qari di Mekah telah membincangkan erti perkataan al-Tajwid dengan membawa maksud mengelokkan. Manakala al-Tajwid menurut pengertiannya ialah pengetahuan yang membicarakan makhraj huruf (alat-alat pengucapan), sifat-sifatnya dan perkara yang berhubung dengan ayat-ayat al-Quran. misalnya membaca huruf-huruf ada pengucapan atau haknya. Hal ini berkaitan dengan aktiviti membaca dengan sifat-sifat huruf itu sendiri seperti جهر (menempik), همس (mendesis), شدة (keras) dan sebagainya. Ia juga melibatkan aktiviti membaca huruf menurut landasan atau mustahaknya iaitu membaca mengikut sifat yang baru mendatang termasuklah tentang makhraj, sifat dan perkara yang dibawa oleh kalimah-kalimah al-Quran. Ia adalah seperti hukum menyesuaikan huruf contohnya تفخيم (menebal), ترقيق (menipis), dengung dan sebagainya lagi (Abdullah al-Qari Salleh. Kursus Qari dan Qariah, ms 15).


Pada masa yang sama juga, Syeikh al-Islam Zakaria Ansari pernah membentangkan pengertian perkataan tajwid iaitu;

"هو عدم الاخلال بالمعنى والإعراب"
Maksudnya:
“Iaitu bacaan yang nyata maknanya dan terang pengucapannya”.


Oleh yang demikian itu, istilah tajwid secara kesimpulannya ialah ilmu yang berkaitan dengan sebutan huruf yang diucap pada makhraj-makhrajnya yang betul, kadar panjang dan pendek bacaan (mad), dengung, qalqalah, isymam (اشمام), dan lain-lain lagi yan terkandung dalam skop ilmu tajwid. Sifat-sifat bacaan ini akan menolong dalam penyampaian kepada makna perkataan-perkataan yang diucapkan (Abdullah al-Qari Salleh. Kursus Qari dan Qariah, ms 16).

Selain daripada pengenalan dan pentakrifan awal dalam ilmu tajwid, perbincangan hukum mempelajarinya juga adalah salah satu keutamaan yang seharusnya diketahui oleh setiap individu dalam mendalami ilmu tajwid. Membaca al-Quran secara bertajwid adalah wajib dan diberikan ganjaran pahala kepada setiap pembacanya. Namun sebaliknya membaca al-Quran tanpa bertajwid iaitu dengan bacaan yang salah adalah berdosa. Malah, hukum mempelajarinya adalah fardhu kifayah bagi umat Islam, dan fardhu ain khususnya bagi para ulama. Sekiranya tidak ada individu yang mempelajarinya di sesebuah negeri atau daerah maka akan berdosa (Hassan Mahmud al-Hafiz. Pelajaran Ilmu Tajwid al-Quran Rasm Usmani, ms 29).

Terdapat beberapa dalil dalam membincangkan hukum mempelajari ilmu tajwid yang dilihat dari perspektif al-Quran, al-Sunnah dan ulama. Allah s.w.t. berfirman di dalam al-Quran;


وَرَتِّلِ القُرانَ تَرْتِيْلاً
Maksudnya:
“Bacalah al-Quran itu dengan tartil”.

Menurut Ali bin Abi Talib, tartil bermaksud mentajwidkan huruf dan mengetahui tempat berhenti. Perkataan ورَتِّلِ adalah فعل الأمر yang bererti wajib kerana tidak qarinah yang boleh merubah bentuk asalnya.

Apabila diteliti dari al-Sunnah pula, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Imam Malik dalam kitabnya الموطاء dan النسائى dari susunannya daripada Huzaifah dari Rasulullah s.a.w. bersabda;
اقرؤا القرآن بلحون العرب وأصواتا
واياكم ولحون أهل الفسق والكبائر
Maksudnya:
“Bacalah al-Quran dengan bentuk suara dan lagu Arab. Dan jauhilah oleh mu dari bentuk suara dan lagu-lagu orang-orang yang fasiq serta dosa besar”.

Lagu fasiq ialah lagu yang bukan berasal dari lagu Arab yang diatur not kaedah muzik yang boleh merosakkan bunyi makhraj dan sifat huruf. Manakala lagu nyanyian ahli kitab pula adalah lagu yang dilakukan seperti orang yang putus asa atau merintih ditimpa bencana. Ia sebenarnya dapat melalaikan sebutan huruf.

Di samping itu, terdapat kata sepakat ulama berkaitan hukum mempelajari tajwid. Umumnya hukum mempelajari ilmu tajwid al-Quran adalah menjadi fardhu kifayah, sedangkan hukum menggunakannya adalah fardhu ain bagi setiap orang Islam sama ada lelaki atau pun perempuan yang telah baligh. Imam al-Syams bin al-Jazari dalam Mukaddimahnya telah menetapkan bahawa;

والأخذ بالتجويد حتم لازم، من لم يجود القرآن فهو أثم لأنه به الا له انزلا، وهكذا منه الينا وصلا
Maksudnya:
“al-Quran wajib dibaca secara bertajwid, berdosalah pembaca yang tidak bertajwid kerana secara itulah ia ditirunkan, dan begitulah kepada kita ia disampaikan” (Abdullah al-Qari Saleh. Kursus Qari dan Qariah, ms 18; Hassan Mahmud al-Hafiz. Pelajaran Ilmu Tajwid al-Quran Rasm Usmani, ms 29-31).


SEJARAH PERKEMBANGAN ILMU TAJWID SERTA METODE PENGAMBILANNYA

Ilmu tajwid telah berkembang bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Menurut Imam Bukhari, hadis dari Hasruq menerusi Aishah dan Fatimah yang berkata Nabi Muhammad s.a.w. telah menceritakan kepada aku dengan katanya;

ان جبريل كان يعارضني (اب يدارسني) بالقرآن في كل سنة مرة. فعارضني العام مرتين ولا اراه حضر اجلي

Maksudnya:
“Sesungguhnya Jibril telah mengutuskan al-Quran kepadaku (untuk bertadarus dan semakan) pada setiap tahun sekali. Maka pada tahun ini dibentangkan kepada aku dua kali, maka tidaklah aku terfikir melainkan ajalkan telah hampir” ((Abdullah al-Qari Saleh. Kursus Qari dan Qariah, ms 24).


Rasulullah s.a.w. telah memperdengarkan bacaan al-Quran dihadapan Jibril dari awal hingga akhir dengan bacaan yang elok, betul sebutan huruf dan makhrajnya untuk dijadikan contoh kepada umatnya. Rasulullah s.a.w. juga telah menerima wahyu dari Jibril dengan bertajwid. Pada masa yang sama Rasulullah s.a.w. pula akan mengajarkan setiap hukum bagi mengekalkan bentuk dan sifat bacaan kepada guru-guru al-Quran dalam kalangan umatnya (Abdullah al-Qari Salleh. Kursus Qari dan Qariah, ms 24).

Sheikh Muhammad al-Husayni turut menyatakan bahawa sifat-sifat bacaan ini adalah diambil oleh orang-orang yang kemudian iaitu kelompok salaf (golongan umat terdahulu). Selepas itu ia kemudiannya telah diambil oleh para khalaf (golongan umat kebelakang). Malah, rupa dan bentuk bacaan pula telah diambil oleh ramai para sahabat antaranya terdiri daripada Abu Hurairah, Ibn Abbas, Abdullah bin al-Saib. Di samping itu individu yang terdiri dari golongan tabiin pula ialah Abdullah bin ‘Iyasy bin Abi Rabiah, Abdullah bin Habib, Abu Abd al-Rahman al-Salmi dan Abu al-Aliyah al-Riyah serta ramai lagi. Walau bagaimanapun, individu yang mula-mula sekali membukukan ilmu tajwid ialah Imam al-‘Azim Abu Abid Qasim bin Sulam pada kurun ke-3 Hijrah. Terdapat pendapat lain ada menyatakan orang yang mula-mula membukukan ilmu ini ialah Hafs bin Umar al-Dur (Abdullah al-Qari Salleh. Kursus Qari dan Qariah, ms 27).

Di Malaysia sejarah perkembangan ilmu tajwid adalah selari dengan sejarah perkembangan Islam. Menurut pendapat ahli sejarah, Islam mula bertapak di Malaysia pada abad ke-15 dengan kemunculan Melaka sebagai pusat perdagangan yang penting di Asia Tenggara. Para pedagang termasuklah pedagang Arab telah datang ke Melaka untuk berdagang. Di samping berdagang, mereka juga cuba menyebarkan Islam. Berdasarkan Sejarah Melayu pula, Raja Melaka yang pertama iaitu Parameswara telah diislamkan oleh Sheikh Abdul Aziz dari Mekah pada tahun 1414 yang kemudiannya telah berkahwin dengan puteri Islam dari Pasai.

Menerusi perkembangan Islam ini para mubaligh dari Arab telah mengajar al-Quran dan perihal yang berkaitan dengan sunnah Nabi s.a.w. Di dalam pengajaran al-Quran, ilmu tajwid telah diberi penekanan yang serius agar pembacaan umat Islam betul dan mengikut apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Usaha-usaha ini telah diteruskan di madrasah-madrasah dan rumah-rumah tok imam yang dijalankan oleh para mubaligh dari negeri Arab. Mereka menjalankan pengajian al-Quran secara bersemuka bertujuan supaya mereka yang diajar dapat membaca al-Quran secara bertajwid. Bermula dari perlaksanaan yang dilakukan inilah, ilmu tajwid telah berkembang di Malaysia.

Setelah beberapa lama keadaan ini berterusan, maka lahirlah pula para mubaligh yang terdiri daripada anak-anak tempatan Melaka. Mereka merupakan golongan yang meneruskan perjuangan menyebarkan Islam dan pembacaan al-Quran bertajwid kepada peduduk-penduduk tempatan dan negeri-negeri lain yang berdekatan. Konsep dakwah yang disarankan oleh Islam turut mempengaruhi faktor penyebaran Islam (al-Quran dan Syariat Islam). Setiap individu Islam bertanggungjawab untuk menyampaikan ajaran Islam kepada orang lain dan memperluaskannya di Malaysia.
Mengikut sejarah perkembangan ilmu tajwid, penyusun ilmu tajwid yang pertama dalam bahasa Melayu adalah seorang ulama yang bernama Muhammad Salih bin Ibnu Mu’ti bin Syeikh Muhammad Salih al-Kalantani. Walaupun asal-usulnya tidak diketahui tetapi berdasarkan gelaran diakhirnya iaitu al-Kalantani berkemungkinan beliau berasal dari Kelantan. Melalui bukunya yang bertajuk Mir ‘atul Quran fi Tashili Ma’rifat Ahkamit Tajwid lil Mulkill Wahhab yang dihasilkan pada tahun 1193H bersamaan 1779M adalah tarikh terawal mengenai ilmu tajwid yang ditulis dalam Bahasa Melayu. Beliau juga telah mengambil kitab tafsir Bahasa Melayu Turjumanul Mustafid, karya Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri yang merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam Bahasa Melayu. Buku ilmu tajwid karya Ibnu Syeikh Abdul Mu’ti ini telah disalin semula oleh Tuan Guru Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu bermula pada tahun 1235H (1819M) dan disiapkan ada tahun 1265H (1848M). Tempoh untuk menyiapkan proses ini telah mengambil masa selama 42 tahun (
http://balliqul-ilm.blogspot.com/search/label/Tajwid, Internet 9 November 2009 – Isnin).

Terdapat juga beberapa orang ulama dari kerajaan Sambas, Indonesia yang telah menulis ilmu tajwid dalam versi Melayu, antaranya ialah Haji Khairuddin ibnu Haji Qamaruddin Sambas. Beliau telah menulis beberapa buah buku termasuklah buku tentang ilmu tajwid tetapi tidak dinyatakan tarikhnya. Kandungannya membincangkan ilmu tajwid secara lengkap untuk peringkat asas (Koleksi tulisan Allayarham Wan Mohd Shaghir Abdullah, internet 5 May 2008 - Isnin). Seorang lagi Ulama Sambas yang menulis tajwid ialah Haji Mohd Yasin bin Al-Haji Muhammad Sa’ad Sambas di mana buku tajwid yang ditemui di karang oleh beliau ialah Ilmu Tajwid. Buku ini diselesaikan di Mekah pada waktu Dhuha, hari Sabtu bersamaan 20 Syawal 1285H. Kandungannya menjelaskan tentang ilmu Tajwid al-Quran. Pada bahagian awal ditulis dalam Bahasa Arab yang diberi makna dalam bahasa Melayu. Bahagian kedua semuanya menggunakan Bahasa Melayu. Manuskrip ini diperolehi di Pontianak, Kalimantan Barat. Ia pernah dimiliki oleh salah seorang keturunan Kerabat Diraja Kerajaan Pontianak pada 11 Rabiulawal 1423H hari Jumaat bersamaan 24 Mei 2002M (
http://balliqul-ilm.blogspot.com/search/label/Tajwid, http://putra-nazri.blog.friendster.com/, Internet 9 November 2009 – Isnin).

Pembacaan al-Quran di Malaysia pada masa sekarang adalah mengikut Rasm Uthmani yang telah ditulis dan dibukukan semasa pemerintahab Saidina Othman bin Affan r.a. Sementara bacaannya adalah mengikut riwayat Hafs bin Sulaiman melalui Asy-Syatibiyyah dan ia diambil dari Qiraat Imam ‘Asim. Imam ‘Asim merupakan seorang pelopor mazhab Qiraat yang tujuh daripada sepuluh. Nama beliau ialah ‘Asim bin Abi an-Najud al-Asadi al-Kufi, Syeikh Qurra’ di Kufah selepas Abu Abd Rahman as-Sulami. Beliau adalah salah seorang tabiin yang hampir dengan para sahabat dan sempat bertemu dengan para sahabat semasa hayatnya. Beliau juga seorang yang fasih serta mahir dalam bacaan al-Quran, memiliki suara yang lunak, dan sedap didengari. Apabila beliau membaca al-Quran, beliau dikatakan sebagai manusia yang paling baik suaranya.

Imam ‘Asim telah meninggal dunia pada peghujung tahun 127H dan dikebumikan di Kufah. Beliau mempunyai dua orang anak murid yang paling masyhur iaitu Abu Bakar Syu’bah bin Abbas dan Abu Umar Hafs bin Sulaiman bin al-Mughirah al-Asadi. Mereka berdua telah menjadi periwayatan pembacaan al-Quran para penduduk Islam di Malaysia.

Oleh kerana Hafs telah melahirkan ramai anak-anak murid, maka bacaan riwayat Hafs ini telah tersebar luas ke seluruh negara Islam terutamanya negara-negara di Asia Tenggara. Setelah kewafatan Imam Hafs pada tahun 180H, telah wujud pelbagai aliran bacaan al-Quran seperti aliran Asy-Syaitibiah dan aliran Al-Jazariah. Di Malaysia, metode pembacaan al-Quran adalah mengikut Rasm Uthmani dengan kaedah bacaan mengikut riwayat Hafs melalui aliran Asy-Syatibiah. Bacaan al-Quran berdasarkan aliran ini merupakan kaedah yang utama yang diamalkan oleh sebahagian besar umat Islam sehingga kini termasuklah di Malaysia.

FAEDAH MEMPELAJARI ILMU TAJWID

Usaha dalam memelihara dan mempelajari al-Quran dengan bertajwid sememangnya mempunyai manfaatnya yang tersendiri. Faedah-faedah mempelajari ilmu tajwid antaranya;

a) Memelihara daripada kesalahan-kesalahan dalam membaca al Quran

Membaca al-Quran secara bertajwid adalah suatu kewajiban bagi setiap individu muslim. Sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan pada bacaan al-Quran, maka hukumnya adalah haram. Sementara mencacatkannya merupakan suatu dosa. Kesalahan dalam bacaan terbahagi kepada dua iaitu kesalahan lahn jaliy dan lahn khofiy.
i. Kesalahan lahn jaliy bermaksud kesalahan yang dilakukan pada struktur perkataan samada kesalahan itu mencacatkan makna perkataan atau tidak. Jaliy di sini bermaksud suatu kesalahan yang dapat disedari dengan nyata dan terang-terangan. Ia dapat disedari oleh semua orang tak kira orang biasa ataupun orang yang mahir dalam tajwid. Sebagai contoh, kesalahan yang mengubah makna perkataan dan kesalahan yang tidak mengubah makna perkataan serta kesalahan mengubah huruf. Hukumnya adalah haram secara ijma’ ulama sama ada disengajakan ataupun tidak. Bagi yang tidak tahu, tiada dosa bagi mereka.
ii. Kesalahan lahn khofiy yang bermaksud kesalahan atau kecacatan yang dilakukan pada sebutan, iaitu menyalahi cara sebutan yang telah ditetapkan bagi sesuatu perkataan atau ayat al-Quran. Kesalahan ini hanya disedari oleh orang yang mahir dalam tajwid ataupun para Qurra’ sahaja, dan tidak pada orang awam. Misalnya, meninggalkan izhar, ikhfa’, idgham, iqlab, ghunnah, kadar panjang yang sepatutnya, tafkhim, tahqiq dan sebagainya. Dengan kata lain mengabaikan hukum tajwid dalam pembacaan. Hukumnya adalah haram dilakukan secara sengaja ataupun mempermudah-mudahkannya. Bagi individu yang tidak tahu, tidaklah berdosa bagi mereka.
b) Mencapai keyakinan dalam pembacaan al-Quran

Dengan mempelajari ilmu tajwid, seseorang individu muslim khususnya akan merasa lebih yakin dengan ketepatan bacaannya. Di samping itu, perasaan ragu-ragu dengan apa jua bentuk ayat dan hukum bacaan yang ditemui pada mana-mana tempat dalam al Quran juga tidak akan terjadi.

c) Mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Di samping mempelajari ilmu tajwd dengan memperhalusi bacaan-bacaan al-Quran, banyak ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan kelebihan membaca al-Quran serta jaminan kebahagiaan baginya.

d) Dapat mengetahui seni bacaan al-Quran yang pelbagai

Al-Quran mempunyai seni bacaannya yang tersendiri. Seni bacaan al-Quran disertai dengan pelbagai lagu yang diambil kira tentang makhraj huruf atau pengeluaran huruf yang tepat keluarnya. Dengan mendalami ilmu tajwid, para individu muslim akan dapat mengetahui dan mempelajari jenis-jenis tingkatan seni suara, seni lagu dan perbezaan lagu. Perkara ini saling berkait dengan kaedah seni bertaranum.


KESIMPULAN

Secara umumnya ilmu tajwid merupakan ilmu yang penting bagi umat Islam. Umat Islam khususnya akan dapat membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan bacaan yang betul dan dapat mengelakkan berlakunya kesalahan dalam bacaan. Dalam proses memperhalusi pembacaan al-Quran, individu Muslim juga akan mempelajari kaedah dan metode hukum-hukum ketika membaca ayat-ayat suci al-Quran. Di antaranya termasuklah makhraj huruf, tingkatan suara dan seni bertaranum yang pelbagai.

Oleh yang demikian itu, usaha dalam mempelajari tajwid seharusnya ditingkatkan dalam setiap lapisan masyarakat termasuklah yang golongan muda dan golongan tua. Sebagaimana hari ini, telah wujud pelbagai metode atau kaedah untuk memudahkan pemahaman dalam bidang ilmu tajwid misalnya rancangan tilawah, bertaranum dan tajwid al-Quran, yang mana disiarkan melalui media-media tempatan. Selain daripada itu menerusi internet juga banyak blog-blong yang membincangkan ilmu tajwid. Walaupun terdapat sedikit perbezaan pendapat dan prinsip seperti perbezaan qiraat dan sebagainya, namun ia boleh dibincangkan dengan lebih terperinci dalam kalangan cendikiawan dan para ilmuan pada zaman teknologi ini.

SOALAN KEDUA:

Hukum-hukum mad terjadi disebabkan beberapa perkara dan di antaranya disebabkan terdapat huruf yang sukun. Mad dari segi bahasa bermaksud menambah atau memanjangkan. Dari segi istilah pula ia ialah memanjangkan suara pada huruf-huruf mad dan lin dengan kadar dua hingga enam harkat (Mahadi Dahlan al-Hafiz & Azahari Othman al-Hafiz, Kaedah Tajwid Rasm Uthmani, ms 38). Huruf-huruf mad (panjang) terbahagi kepada tiga bahagian iaitu;

Huruf
Keterangan
Contoh
اْ
Alif sakinah yang sebelumnya terdapat huruf berbaris di atas
حَتَّى إِذَا
وْ
Wau sakinah yang sebelumnya terdapat huruf berbaris hadapan
رُدُّوهَا
يْ
Ya sakinah yang sebelumnya terdapat huruf berbaris di bawah
مُبِينَ

Huruf-huruf yang menemui salah satu daripada huruf-huruf di atas hendaklah dipanjangkan bacaannya menurut kadar yang tertentu.

Tiga jenis mad yang berkaitan dibincangkan sebagaimana yang berikut;
1) Mad wajib muttasil
2) Mad jaiz munfasil
3) Mad lin



1) Mad wajib muttasil

Contoh
جَاءَ
سُو~ءَ
سِيْئَ
Kadar panjang
· Tidak kurang daripada 3 harkat bersamaan 1½ alif dan tidak lebih daripada 6 harkat (3 alif).
· Menurut bacaan Hafs ia di panjangkan dengan kadar 4 atau 5 harkat sahaja.
Cara mengenali
· Apabila salah satu huruf mad (اْ وْ يْ) bertemu dengan hamzah dalam satu perkataan.
Sebab dinamakan
· Ia dinamakan dengan mad wajib muttasil kerana huruf-huruf mad bertemu secara berangkai atau bersambung dan hanya berada dalam satu kalimah atau perkataan sahaja.



2) Mad jaiz munfasil
Contoh
فِيْ أَنْفُسِكُمْ
قُوْآ أَنْفُسَهُمْ
يآأَيُّهَا النَّاسُ
Kadar panjang
· Harus dipendekkan iaitu dibaca sepanjang 2 harkat.
· Harus dimadkan iaitu dibaca sepanjang had wajib muttasil.
· Kesimpulannya dibaca dengan kadar 2/4/5 harkat.
Cara mengenali
· Apabila salah satu huruf mad (اْ وْ يْ) bertemu dengan hamzah berharkat di dalam perkataan lain.
Sebab dinamakan
· Ia dinamakan dengan mad jaiz munfasil kerana salah satu huruf-huruf mad bertemu secara bercerai di antara dua kalimah atau perkataan.

3) Mad lin
Contoh
خَوْفٌ

قُرَيْشٍ
Kadar panjang
· Kadar bacaan adalah 2 harkat.
· Apabila huruf yang dimatikan kerana wakaf maka kadar panjangnya adalah 2/4/6 harkat.
Cara mengenali
· Apabila dua huruf (وْ يْ) dan sebelumnya huruf yang berbaris di atas, dan ia hendaklah dimadkan.
Sebab dinamakan
· Ia dinamakan dengan lin kerana ia hendaklah dibaca secara lembut.
Kadang kala terdapat mad lin berpasangan dengan mad ‘arid, dan hukumnya sebagaimana berikut;
a) Sekiranya mad lin mendahului mad ‘arid
- Maka boleh dibaca dengan memilih pasangan sifat seperti berikut;
Mad lin (لاَ رَيْبَ)
Ø Pendek : 2 harkat
Ø Sederhana : 4 harkat
Ø Panjang : 6 harkat
Mad ‘arid (لِلْمُتَّقِيْنَ)
Ø Pendek/ sederhana/ panjang : 6/4/2 harkat
Ø Sederhana/ panjang : 6/4 harkat
Ø Panjang : 6 harkat

b) Sekiranya mad ‘aridmendahukui mad lin
- Maka boleh dibaca dengan memilih pasangan sifat berikut;
Mad ‘arid (لِلْمُتَّقِيْنَ)
Ø Pendek : 2 harkat
Ø Sederhana : 4 harkat
Ø Panjang : 6 harkat
Mad lin (لاَ رَيْبَ)
Ø Pendek: 2 harkat
Ø Sederhana/ panjang : 2/4 harkat
Ø Panjang/ sederhana/ pendek : 2/4/6 harkat

0 comments: